Disini sedikit perkongsian saya melalui pengalaman saya sebagai Agen Harta Tanah dan merupakan study case saya dan rakan-rakan REN saya.
1. Pilih pinjaman PERTAMA Yang tepat
Pastikan pinjaman pertama yang anda buat dengan bank adalah pinjaman perumah. Bukan pinjaman kenderaan atau pinjaman peribadi. Ini adalah kerana pinjaman kenderaan akan menyebabkan komitmen anda semakin tinggi dan kelayakan di pihak bank untuk pembelian rumah semakin berkurangan. Kajian dibuat 8/10 pinjaman tidak diluluskan atas alasan pendapatan peminjam sudah melebihi had 'Debt Servise Ratio' .
2. Guna Akaun Syarikat Sebagai Aliran Tunai.
A. Kalau anda seorang usahawan, tidak kira sepenuh masa atau separuh masa, pastikan pelanggan anda memasukkan duit ke akaun syarikat. Bukan akaun persendirian anda. Jikalau pelanggan memasukkan DUIT ke akaun persendirian anda ianya TAKKAN dikira sebagai PENDAPATAN. Jadi, rugilah di situ. Kalau ada yang terlepas , pindahkan semula masuk ke akaun syarikat dengan nota 'JUALAN TUNAI' .
B. Selepas itu pastikan anda juga membuat pengistiharaan cukai dengan LHDN. Pada zaman ini bank-bank sudah pandai menilai, sekiranya anda tidak mengistiharkan pendapatan perniagaan anda di LHDN, maka bank akan beranggapan anda tidak serius didalam perniagaan anda dan anda mungkin akan tutup kedai bila-bila masa sahaja.
C. Sekiranya anda mempunyai 2 pendapatan iaitu kerja tetap dan perniagaan / komisen, pastikan juga anda membuat pengistiharaan pendapatan kepada LHDN bagi membolehkan pendapatan anda itu diiktiraf sebagai pendapatan layak untuk membuat pinjaman kepada bank.
3. Bayar KWSP.
Salah satu cara lain sekiranya anda mempunyai perniagaan sendiri, pastikan tetapkan Gaji untuk diri sendiri dan bayar kwsp kepada diri sendiri. Apabila anda ada permohonan untuk membuat pinjaman nanti, anda akan mempunyai 2 jenis pendapatan. Iaitu pendapatan dari perniagaan, dan pendapatan dari gaji anda sendiri. Untuk pembayaran gaji, gunakan cek syarikat . Elakkan pembayaran secara online sahaja. Dan pastikan anda membuat slip gaji yang mempunyai cop syarikat anda.
4. Jangan Terpengaruh Loan ASB dan Personal Loan
Jangan cepat terpengaruh untuk ambik Pinjaman ASB atau Pinjaman peribadi. Sebab pinjaman jenis inilah yang selalunya menjadi faktor yang menyebabkan bank menolak pinjaman perumahan kita. Kalau niat hendak mengambil pinjaman ASB juga, pastikan selepas lulus pinjaman perumahan, baru lah ambik sekali. Bagi saya, kalau ada merancang untuk membeli property kedua, jangan ambil mana-mana pinjaman dahulu.
5. Pastikan Rekod CCRIS BERSIH
Rekod CCRIS adalah satu rekod dari Bank Negara yang mengumpul senarai hutang-hutang kita dengan institusi kewangan di Malaysia. Untuk memudahkan anda sebelum membuat keputusan pinjaman perumahan pastikan anda semak dulu rekod CCRIS anda sendiri. Nanti anda akan nampak senarai hutang anda dan disebelahnya senarai bayaran bulanan anda. Kalau 0, bermakna rekod anda bersih. Anda memang seorang yang berdisipilin. Kalau 1, ini bermaksud ada 1 bulan tertunggak, begitu jugak 2,3,4 dan seterusnya. Cara nak buat semakan ialah dengan pergi ke Bank Negara dan guna mesin yang disediakan. Atau sekarang boleh buat secara online saja.
6. Tiga Jenis Rumah Anda Perlu Kenal Pasti
Ada TIGA jenis rumah yang anda boleh beli.
PERTAMA – Rumah undercons (bermaksud under construction). Biasanya rumah undercons sesuai untuk mereka yang tidak mempuyai modal besar untuk memiliki rumah. Kalau anda cari rumah yang ada diskaun 7%, maka anda hanya perlu keluarkan modal 3% sahaja. Kalau dapat cari rumah yang dapat diskaun 10%, maka tak perlu nak keluar modal untuk pembayaran deposit.
KEDUA – Rumah subsale. (bermaksud rumah yang dah siap / second hand ). Untuk rumah jenis subsale ini, modal yang sangat besar diperlukan. Kalau rumah tu harganya RM500,000 , maka deposit sebanyak RM50,000 diperlukan. Ditambahkan lagi dengan legal fees, dll.
KETIGA – Rumah lelong. Diantara ketiga-tiga jenis ini, rumah lelong mempunyai risiko yang sangat tinggi. Tetapi semakin tinggi risikonya, semakin besar pulangannya, jikalau anda menang bidaan lelong jauh lebih murah dari harga market, untung besarlah anda.. Untuk jenis rumah lelong, anda perlu buat kajian dari segi harga semasa ( MV), keadaan rumah, kejiranan dan lain2 sebelum membuat keputusan untuk bidaan.
😊
7. Beli Rumah Undercons
Sekiranya anda memilih utk membeli rumah under cons, maka pilih lah pemaju yang mempunyai rekod bersih dan syarikatnya sudah lama dipasaran. Anda boleh terus ke website KPKT untuk menbuat carian rekod pemaju-pemaju ini.
A. pertama kenapa perlu pilih developer ini ialah risikonya kurang. Maksudnya, risiko untuk projek terbengkalai sangat rendah. Kalau pilih pemaju yang kecil ( kontraktor persendirian) maka risikonya sangat tinggi kerana mereka mungkin kekurangan modal atau ada masalah-masalah lain dan menyebabkan projek tersebut boleh terbengkalai. Kita juga yang rugi nanti.
B. kedua,sebagai pemaju besar, mereka biasanya menyediakan banyak kelebihan kepada pembeli hartanah mereka. Sebagai contoh, diskaun 5%-10%, percuma aircond, alarm system, vinyl floor dan pelbagai lagi. Tambahan lagi, developer besar biasanya akan menyediakan kemudahan yang banyak di sesebuah taman perumahan yang mereka tengah bangunkan.
8. Beli Ikut Kemampuan.
Beli rumah ikut kemampuan. Jangan ikut nafsu. Yerlah, kadang2 kita cepat terpengaruh dengan kawan-kawan yang beli rumah besar, kita pun nak beli rumah besar jugak. Pinjaman mungkin boleh lulus.. tapi bila masuk bab bayaran bulanan, ianya sangat-sangat membebankan anda. Komitmen bulanan lebih tinggi daripada pendapatan yang anda dapat. Akhirnya tertunggak! Jadi, untuk elakkan perkara ni berlaku, sebelum keputusan dibuat untuk membeli mana-mana hartanah, pastikan anda buat kiraan terlebih dahulu tentang kemampuan pendapatan bulanan anda untuk membayar rumah tersebut nanti.
9. Tips Tambahan.
Kebiasaannya kalau loan untuk rumah pertama, bank nak lihat rekod ccris anda. Bergantung kepada sesetengah bank jugak. Sekiranya anda tidak pernah membuat pinjaman dengan bank, Maka rekod ccris anda kosong. Dan bank tidak dapat menilai bagaimana disiplin anda dalam pembayaran pinjaman. Jadi, sekiranya masalah ni terjadi kepada anda, ada 2 cara yang anda boleh buat.
A. PERTAMA, anda mohon sahaja kredit kad dan guna. Cara guna kredit kad yang betul ialah, swipe di siang hari, dan malamnya terus bayar balik kredit kad tersebut. Ini untuk mengelakkan anda terlupa untuk buat bayaran.
B. buat personal loan dalam jumlah yang paling rendah di Easy RHB. Dengan cara ni, bank akan nampak track rekod yang anda merupakan seorang pembayar hutang yang baik. Pinjaman serendah 3k sahaja sudah mencukupi, atau belilah set elektrik menggunakan AEON CREDIT dan pastikan pinjaman anda kurang daripada satu tahun ya.
Disini saya tekankan kepada pembelian Undercon adalah disebabkan kebanyakan pelanggan yang saya jumpa tidak mempunyai modal yang besar untuk pembelian rumah subsales ataupun lelong.
Terpulang kepada anda, sekiranya budget anda besar anda seorang yang bertuah kerana anda mempunyai kelebihan untuk memilih mana-mana kategori harta tanah pilihan anda, tahniah.
Nasihat saya, belilah rumah untuk anda duduki dahulu, kerana bukan semua orang mempunyai pendapatan untuk memiliki rumah lebih daripada 2 unit. Dan untuk melabur didalam bidang harta tanah ini sebenarnya perlukan modal yang sangat besar, tidak semudah yang digambarkan didalam media massa atau iklan-iklan hartanah yang ada.
Pembelian Harta tanah bukanlah keputusan yang boleh dibuat dalam jangka masa yang pendek....
Buatlah keputusan yang bijak....
-yoepreez-
www.reezempire.com